Friday 21 October 2011

Murtad dan Himpunan Sejuta Umat - Bahagian 2 (Akhir)

Perbetulkan Diri

Semuanya perlu bermula dengan diri kita sendiri. Sekiranya kita mempunyai pengetahuan agama yang cukup, menghayati dan mengamalkan ajaran Islam dalam erti kata sebenar maka dengan sendirinya kita akan bersatu padu dan mempunyai benteng aqidah yang kukuh dan dapat membendung gejala murtad ini.

Sistem pendidikan dan cara pemikiran umat Islam di Malaysia ini perlu diubah dan diperkukuhkan. Pendidikan agama Islam di sekolah-sekolah perlu lebih mantap dan berkesan. Orang Islam memerlukan suatu anjakan paradigma yang dapat mengubah corak pemikiran kita supaya lebih faham tentang tuntutan dan peranan kita sebagai umat Islam.

Tidak memahami kehendak agama adalah antara punca perpecahan umat Islam berdasarkan fahaman politik masing-masing. Kepentingan agama Islamlah yang sepatutnya di dahulukan.  Malang sekali apa yang kita lihat di kalangan para pemimpin politik kita adalah meletakkan kepentingan parti di atas segala-galanya.

Di satu pihak my2cents nampak mereka ini agak gopoh, kurang berhemah dan kurang jelas dalam usaha melaksanakan sistem pemerintahan Islam sehingga menyebabkan salah faham di kalangan orang bukan Islam malah orang Islam sendiri. Manakala di pihak yang lain pula masih tetap ingin mengekalkan ‘status quo’ tinggalan penjajah British dengan alasan kononnya sistem pemerintahan berlandaskan Islam tak sesuai untuk masyarakat di Malaysia. Jadi diambil hanya sebahagian yang dirasakan sesuai dan ditinggalkan sebahagian lagi yang dirasakan tidak sesuai atau akan mengancam survival politik mereka.

Inilah yang dimaksudkan dengan tidak faham tuntutan agama dan meletakkan kepentingan lain selain dari Islam sebagai keutamaan. My2cents tidaklah pakar dalam hal-hal agama ni tetapi tidaklah pula jahil.

Jadi tidak hairanlah dalam menangani isu murtad ini pun, umat Islam telah berbeza pendapat dan tidak dapat mencapai kata sepakat  dalam mencari penyelesaiannya.

Mulakan Dengan Langkah Kecil


Memang nampak lebih senang bercakap berbanding untuk melaksanakannya. Namun kita harus mulakan dengan langkah kecil yang di dalam kemampuan kita. Tepuk dada tanyalah iman.

Lengkapkan diri kita dengan pemahaman terhadap tuntutan Islam dan gunakan kuasa undi kita bagi merubah keadaan yang tidak betul. Janganlah kita mengkhianati amanah yang diberikan hanya untuk kesenangan dunia. Sebahagian dari kita tidak mahu menyokong Islam kerana takut cara hidup sekarang  (sesetengahnya tidak berlandaskan Islam sebenar) tergugat, rezeki yang diperolehi dengan cara rasuah dan salah guna kuasa terputus dan berbagai-bagai alasan lagi.

Penggubalan Akta Murtad adalah langkah sementara dan bukanlah jawapannya kerana tanpa menukar nama atau agama di dalam dokumen-dokumen rasmi pun seseorang Islam masih boleh meninggalkan agama dan cara hidup Islam. Golongan ini akan lebih berahsia dan sukar dikesan memandangkan hukuman yang bakal diterima kelak.

Pemahaman dan penghayatan Islam yang sebenar dan pegangan aqidah yang kukuh akan menjadi benteng terhadap gejala murtad. Ianya merupakan satu-satunya jalan penyelesaian yang menyeluruh terhadap isu ini. Walaubagaimanapun ianya memerlukan pengorbanan dan tolak ansur dari semua kumpulan umat Islam yang berpecah.

Wallahu a’lam

No comments:

Post a Comment