Thursday 20 October 2011

Murtad dan Himpunan Sejuta Umat - Bahagian 1

Pos pertama my2cents ini melibatkan isu yang agak ‘berat’ namun tidak salah rasanya untuk memberikan pendapat.

Isu murtad begitu hangat diperkatakan sejak akhir-akhir ini. Namun, ianya bukanlah isu baru, malah sejak my2cents masih dibangku sekolah rendah lagi hal ini telah diperkatakan.

My2cents masih ingat lagi masa tu, kecoh masyarakat setempat dengan penemuan poster-poster di tempat-tempat awam yang tertera perkataan ‘I Found It’. Menurut laporan akhbar ianya merupakan usaha dakyah golongan kristian untuk menarik  orang ramai terutamanya orang Islam untuk menganut agama mereka.

Pelbagai pihak tampil memberikan reaksi… ada yang keras penuh emosi, ada yang berhati-hati. Lanjutan daripada itu timbullah idea dari beberapa pertubuhan NGO Islam  (dan kemungkinan parti politik) untuk mengadakan Himpunan Sejuta Umat yang akan diadakan di Stadium Utama Shah Alam 22 Oktober ini.

Kenapa Sekarang?

Apakah matlamat perhimpunan ini? Menurut pendokong perhimpunan ini ianya adalah perhimpunan anti-murtad dan berusaha untuk mempertahankan dan menyelamatkan  akidah  umat Islam di negara ini.

Betul ke? Kenapa sekarang baru nak bahaskan isu murtad ini dalam forum arus perdana? Walhal isu ni dah lama tetapi didiamkan sahaja malah dinafikan oleh pemimpin politik tertentu sebelum ini. Ini adalah persoalan yang dibangkitkan oleh mereka yang masih berhati-hati untuk menyokong perhimpunan ini. Banyak persoalan timbul tentang usaha ini. Ada yang mendakwa ianya dibuat atas dasar kepentingan politik pihak-pihak tertentu di Selangor.  Memandangkan ianya melibatkan kaum Cina beragama Kristian ditambah pula kerajaan Selangor sekarang disokong oleh parti DAP yang terang-terang menentang hukum hudud dan peraturan yang berdasarkan hukum Islam maka isu ini dilihat boleh memberi ‘political milage’ kepada pihak-pihak tertentu dalam usaha menarik kembali sokongan kaum Melayu Islam di Selangor.

Adakah gerakan Kristian berkenaan akan merasa gentar dan takut dengan perhimpunan ini seterusnya membawa rasa hormat mereka kepada kita orang Islam? Atau, adakah mereka akan memandang serong malah menambahkan lagi rasa benci mereka kepada umat Melayu Islam di negara ini?

Apakah dengan mengadakan program yang mungkin akan dipenuhi dengan retorik dan menyalahkan pihak lain masalah murtad  ini dapat diselesaikan? Apa sahaja tindakan yang bakal diambil perlulah dengan niat ikhlas dan bukan atas kepentingan politik atau sebab-sebab lain.

Sebagai umat Islam, adalah menjadi tanggungjawab semua untuk  mempertahankan sehabis-habisnya aqidah kita. Tetapi kita haruslah juga bertindak bijak dan berhemah dalam menangani masalah yang serius ini.

Bagi menangani isu ini, kita harus merenung kembali punca kepada segala masalah. Bak kata orang satu jari yang ditunjuk kepada orang lain, ada empat lagi jari yang menunjuk kea rah kita. Maknanya kita harus bermula dengan melihat keadaan diri kita sendiri sebagai umat Islam di negara ini.

Adakah urusan dan perjalanan diri kita, keluarga kita, masyarakat kita dan negara kita dijalankan berlandaskan Al-Quran dan sunnah nabi Muhammad S.A.W? Mungkin ramai yang bersetuju akan hakikat bahawa institusi masyarakat Islam di Negara ini semakin goyah.
 
Cuba lihat di sekeliling kita…. masalah keruntuhan akhlak (tak kira muda atau tua) yang semakin membimbangkan, perceraian di kalangan umat islam yang mencatatkan 77 kes sehari, buang bayi, penagihan dadah, rasuah dan salah guna kuasa, murtad dan macam-macam lagi sebenarnya berpunca dari kegagalan menghayati dan mengamalkan Islam.

Apabila lahir ramai individu yang cetek agama dan rapuh pegangan aqidahnya, maka wujudlah sebuah keluarga yang pincang, masyarakat yang huru-hara dan lemah. Di sinilah bermulanya percaturan musuh-musuh Islam. Tanpa adanya peluang, musuh Islam tidak akan dapat menyerang kita. Malangnya apa yang wujud di kalangan umat Islam di Malaysia hari ini memberikan peluang yang terbuka luas untuk mereka ‘menyerang’ terutamanya aqidah kita......

Nantikan sambungan Bahagian Kedua......

No comments:

Post a Comment